1- ( WAN NUR AUFA NABILA BINTI WAN MITHLAN  D20211100491


SEJARAH PEMBENTUKAN FALSAFAH PENDIDIKAN GURU

Apa yang dimaksudkan dengan falsafah pendidikan guru itu sendiri? Menurut laman web ensiklopedia bebas, wikipedia, falsafah ialah satu disiplin ilmiah yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Manakala perkataan pendidikan bermaksud usaha sistematik yang disengajakan, yang dibuat oleh sesuatu masyarakat untuk menyampaikan pengetahuan, nilai, sikap dan kemahiran kepada ahlinya, usaha memperkembangkan potensi individu dan perubahan yang berlaku dalam diri manusia.

                         




Sebelum tahun 1982, pendidikan guru di Malaysia tidak mempunyai satu falsafah yang tersurat dalam bentuk dokumentasi. Pendidikan guru yang ada bergerak selari dengan matlamat negara yang dinyatakan dalam Laporan Pelajaran seperti Penyata Razak (1956), Laporan Rahman Talib (1961) dan Rancangan Malaysia. Seterusnya dalam menjadikan ia satu kenyataan, pada tahun 1979, Laporan Jawatan Kuasa Kabinet telah menyatakan dua hala tuju pendidikan guru di Malaysia iaitu :

Ø  menghasilkan guru yang mempunyai kesedaran dan daya pemikiran untuk mengendalikan pengajaran dan pembelajaran secara interaktif bagi mengembangkan lagi potensi pelajar

Ø  melahirkan guru yang dapat membudayakan ilmu dalam masyarakat

 

Sehubungan dengan itu pada tahun 1982, Kementerian Pendidikan Malaysia (Bahagian Pendidikan Guru) telah menggubal dan mendokumentasikan Falsafah Pendidikan Guru secara rasminya.

 

Falsafah Pendidikan Guru telah didokumentasikan ini dijadikan sebagai rujukan dan panduan rasmi bagi semua institusi perguruan dan para guru di Malaysia dalam usaha menjamin kualiti profesion keguruan itu di tahap yang unggul.

 


MATLAMAT FALSAFAH PENDIDIKAN GURU

Matlamat falsafah pendidikan guru adalah untuk melahirkan guru yang berkualiti dari segi peribadi, profesional, sosial, menguasai ilmu dan kemahiran serta amalan keguruan. Seseorang guru cemerlang perlu mempunyai ciri-ciri dalaman iaitu peribadi yang seimbang terlebih dahulu. Ianya sangat penting kerana seseorang guru perlulah mempunyai emosi yang stabil untuk membolehkan mereka membentuk generasi yang positif pula. Guru juga akan menjadi contoh teladan kepada murid-murid. Justeru, guru harus menjadi ikon yang terbaik kepada murid-murid.

 

Seterusnya, guru perlulah profesional tentang karier mereka. Seseorang bakal guru perlulah berusaha sehabis mungkin untuk mendalami ilmu berkaitan keguruan ketika masih dalam tempoh latihan agar mereka tidak kekok ketika bertugas di kemudian hari.

 

Di samping itu, falsafah pendidikan guru juga adalah untuk melahirkan guru yang berkualiti dari segi sosial. Guru perlulah mempunyai sikap bijak bergaul dengan semua masyarakat sekeliling tidak kira dalam kawasan sekolah mahupun dengan masyarakat luar. Hal ni demikian kerana ke mana sahaja seseorang guru itu pergi dia akan membawa imej seorang guru. Guru juga perlu mempunyai penguasaan terhadap ilmu dan kemahiran keguruan. Seseorang guru itu bukan hanya perlu memberikan didikan akademik, tetapi dia juga perlu menyelitkan nilai-nilai murni dalam proses pengajaran dan pembelajaran seharian.

 

PERNYATAAN KANDUNGAN FALSAFAH PENDIDIKAN GURU MALAYSIA

Pendidikan guru di Malaysia adalah untuk melahirkan guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung warisan negara serta menyanjung aspirasi kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. (Bahagian Pendidikan Guru, KPM, 1982)


KETERANGAN KANDUNGAN FALSAFAH PENDIDIKAN GURU

           


Ø  Berpekerti Mulia

 

Guru yang bersedia meletakkan kepentingan utama kepada orang lain (murid, ibu bapa, masyarakat dan negara) melebihi diri sendiri dan keluarga. Sebagai seorang guru, maksud meletakkan kepentingan orang lain ialah sentiasa memberi pertolongan secara ikhlas.

 

Ø  Berpandangan Progresif dan Saintifik

 

Guru yang sentiasa berfikiran positif, proaktif, inovatif dan motivatif. Mempunyai minda yang kehadapan dan sentiasa memperkembangkan pengetahuan dan kemahirannya. Seterusnya sentiasa berusaha mencari dan mengguna idea, kaedah dan bahan baru dalam melaksanakan bidang tugas. Sebagai contoh, guru berusaha mempelbagai teknik mengajar supaya amalan pembelajaran murid akan menjadi lebih mudah dan senang difahami oleh mereka.

 

Ø  Bersedia Menjunjung Aspirasi Negara

 

Guru yang sentiasa bersedia meletakkan hasrat dan matlamat negara sebagai yang terpenting dan utama. Mendahulukan kepentingan negara dalam melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan. Contohnya, guru mentaati arahan dan mengutamakan dasar Kementerian Pendidikan Malaysia.

 

Ø  Menyanjung Warisan Kebudayaan Negara

 

Kandungan ini membawa maksud meletakkan diri sebagai role model untuk mengelakkan nilai-nilai yang menjadi warisan kebudayaan negara agar menjadi teladan kepada murid, ibubapa dan masyarakat. Guru sebagai role model dari pelbagai aspek warisan kebudayaan negara sama ada dari segi pertuturan, tingkah laku, pemakaian dan amalan kehidupan. Misalnya, guru sentiasa menjaga kelakuan sepanjang semasa.

 

Ø  Menjamin Perkembangan Individu

 

Kandungan seterusnya ini didefinisikan sebagai guru sentiasa memberikan keutamaan dan memastikan setiap murid diberikan peluang untuk kembangkan potensi secara menyeluruh dan bersepadu yang merangkumi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani secara terbimbing dalam aktiviti pembelajaran dan aktiviti kokurikulum. Contohnya ialah murid bebas memilih subjek elektif, aktiviti kokurikulum dan mengemukakan idea yang bernas.

 

Ø  Memelihara Suatu Masyarakat yang Bersatu Padu

 

Guru perlu mengekalkan keharmonian dalam masyarakat majmuk dengan menekankan unsur bersatu padu dalam aktiviti yang dijalankan dan memastikan murid-murid pelbagai kaum sentiasa berinteraksi antara satu sama lain. Contohnya ialah guru sentiasa menerapkan elemen perpaduan apabila mengajar di dalam kelas dan juga dalam aktiviti kokurikulum.

 

Ø  Memelihara Suatu Masyarakat yang Demokratik

 

Guru sentiasa memberikan peluang kepada murid-murid untuk membuat keputusan dan berlaku adil dalam membuat keputusan serta bertindak berasaskan pertimbangan wajar. Contohnya ialah guru sentiasa memberi nasihat kepada murid dalam membuat sebarang keputusan.

 

Ø  Memelihara Suatu Masyarakat yang Progresif

 

Kandungan ini didefinisikan sebagai memberi penekanan kepada aspek inovatif, kreatif, analitikal,  kritikal, holistik dan bersepadu dalam melaksanakan tugas bagi membentuk murid yang dapat berfikiran secara progresif  dan  saintifik. Guru perlu menekankan kaedah inkuiri-penemuan dan kaedah dapatan bagi memupuk sifat gemar menyiasat dan mereka cipta. Contohnya, dapat melahirkan guru dan murid yang berfikiran jauh dan berwawasan dalam kehidupan.

 

Ø  Memelihara Suatu Masyarakat yang Berdisiplin

 

Kandungan yang terakhir ini juga penting dalam mewujudkan generasi yang seimbang demi pembangunan negara. Ianya didefinisikan sebagai memastikan keharmonian, keselamatan dan keamanan menerusi penerapan nilai, etika dan peraturan yang mesti dipatuhi oleh murid agar membentuk masyarakat yang cemerlang dan berdisiplin. Sebagai contoh, guru berusaha untuk menerapkan semangat cintakan kemerdekaan dalam diri setiap murid.

Ulasan